Kongres Pendidikan Bumiputera 2026: Platform strategik perkukuh agenda pendidikan negara

DALAM keadaan ekonomi global yang semakin dipacu teknologi dan persaingan bakat, isu pendidikan Bumiputera tidak lagi boleh dilihat sebagai agenda kebajikan semata-mata. Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai isu strategik negara yang berkait langsung dengan mobiliti sosial, daya saing ekonomi dan kestabilan jangka panjang.
Dalam konteks ini, penganjuran Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada Jumaat merupakan satu platform dasar yang signifikan dan tepat pada masanya.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima resolusi kongres menunjukkan bahawa dapatan perbincangan ini mempunyai saluran langsung kepada peringkat pembuat dasar tertinggi.
Pada masa yang sama, peranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi Kongres, memperlihatkan kesepaduan antara hala tuju politik dan pelaksanaan dasar pendidikan tinggi.
Penyertaan menyeluruh Naib-Naib Canselor serta tokoh akademik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memastikan bahawa perbincangan yang berlangsung berasaskan realiti institusi dan pelaksanaan sebenar. Justeru, kongres ini hadir bukan sekadar untuk menambah wacana, tetapi untuk menilai sama ada sistem sedia ada masih berfungsi dengan berkesan.
Struktur programnya mencerminkan pendekatan yang tersusun. Ucapan halatuju oleh Menteri Pendidikan Tinggi membuka kerangka perbincangan, sebelum sesi utama “Menilai Dasar-Dasar Pendidikan Bumiputera” menghimpunkan tokoh-tokoh seperti Profesor Emeritus Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Profesor Dr Khairuddin Al Juned, Profesor Emeritus Datuk Dr Asma Ismail, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Datuk Sri Ibrahim bin Ahmad. Sesi ini dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh.
Fokus sesi utama ini ialah menilai keberkesanan dasar sedia ada. Pendekatan ini penting kerana cabaran utama pendidikan bumiputera hari ini bukan kekurangan dasar, tetapi ketidakselarasan pelaksanaan serta kegagalan menyesuaikan dasar dengan realiti semasa.
Sesi selari yang berlangsung selepas itu memperlihatkan dengan lebih jelas jurang yang wujud. Perbincangan mengenai pengarusperdanaan aliran tahfiz, yang melibatkan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Profesor Dr Azmil Hashim dan PU Dr Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa menimbulkan persoalan tentang bagaimana sistem pendidikan boleh menjadi lebih inklusif tanpa mengorbankan standard. Sesi ini dipengerusikan oleh mantan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM). Tan Sri Idris Jusoh.
Pada masa sama, sesi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang melibatkan Profesor Dr Yatimah binti Alias, Prof Dr Sharifah Syahirah Syed Shiekh, Dr Shamsuri Abdullah dan Ir Dr Mahzan Teh mengingatkan bahawa laluan bukan akademik masih belum diberikan kedudukan setara walaupun keperluannya semakin mendesak. Sesi ini dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah.
Di sebelah petang, fokus beralih kepada pendidikan asas dan pembiayaan. Sesi pemerkasaan pendidikan pra-sekolah yang melibatkan Datin Prof Dr Mariani Md Nor, Datuk Mohd Hanapiah Man dan Prof Dr Nordin Mamat menegaskan bahawa jurang pendidikan tidak bermula di universiti tetapi seawal pendidikan awal kanak-kanak. Sesi ini dipengerusikan oleh mantan Menteri Pendidikan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid,
Sesi wakaf pendidikan yang melibatkan Profesor Datuk Dr. Aznan Hassan, Haji Bukhari Abdul Rahman dan Dr Ridzwan Bakar pula membuka ruang kepada pendekatan pembiayaan alternatif yang semakin relevan dalam keadaan sumber awam yang terhad. Sesi ini dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki,
Sesi kemuncak “Halatuju Pendidikan Malaysia” menggabungkan perspektif pelbagai peringkat, melibatkan tokoh seperti Profesor Ts Dr Mohd Naz’ri Mahrin, Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, Profesor Tan Sri Dr Nor Azlan Ghazali, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman dan Tan Sri Muhammad Ibrahim. Sesi ini dipengerusikan oleh mantan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin.
Kongres yang terhasil daripada penat lelah sekretariat yang diketuai oleh Datuk Dr Haji Mohd Puad Zarkashi ini penting dan perlu dilihat sebagai satu instrumen pembinaan negara. Ini kerana pendidikan bumiputera sekarang bukan sekadar terhad kepada soal akses kepada universiti sahaja tetapi turut berkait rapat dengan mobiliti sosial, keadilan ekonomi dan kestabilan politik jangka panjang. Dengan menghimpunkan kepimpinan politik, tokoh akademik dan pelaksana dasar, kongres ini berperanan sebagai platform penyelarasan nasional dalam memperkasa agenda bumiputera secara lebih inklusif dan progresif.
Namun begitu, ukuran sebenar kongres ini bukan pada keluasan perbincangan, tetapi pada ketegasan tindakan susulan. Penyerahan resolusi kepada Timbalan Perdana Menteri pada akhir program membuka ruang untuk cadangan diterjemahkan kepada dasar yang konkrit. Tanpa komitmen pelaksanaan, kongres ini berisiko menjadi sekadar satu lagi platform yang menghasilkan dokumen tanpa impak.
Hakikatnya, banyak daripada isu yang dibincangkan dalam kongres ini—akses tidak seimbang, kebolehpasaran graduan, kedudukan TVET dan pembiayaan pendidikan—telah lama dikenal pasti. Apa yang akan membezakan kongres ini ialah sama ada ia mampu menggerakkan perubahan sebenar, bukan sekadar memperhalusi naratif sedia ada.
Dengan asas yang telah dibina, kongres ini mempunyai semua prasyarat untuk menjadi pemangkin reformasi pendidikan tinggi negara. Dalam era di mana kekuatan negara bergantung kepada kualiti modal insan, mesejnya amat jelas, iaitu pendidikan bumiputera mesti bergerak daripada kerangka lama yang rigid kepada ekosistem baharu yang lebih inklusif, fleksibel dan berorientasikan masa depan.
*Nor Hasimah Abu Hassan ialah Urusetia Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
