Tanggungjawab, keberanian negarawan insani

Malaysia hari ini masih menyaksikan demonstrasi, kritikan terbuka dan tekanan awam terhadap kerajaan. Gambar hiasan
Malaysia hari ini masih menyaksikan demonstrasi, kritikan terbuka dan tekanan awam terhadap kerajaan. Gambar hiasan
A
A
A

KITA berbicara tentang seorang negarawan yang tidak pernah benar-benar menjauh daripada rakyat.

Negarawan yang memahami politik bukan sekadar sebagai permainan kuasa, tetapi sebagai perjalanan panjang dibentuk pengalaman.

Dari jalan berdebu di Baling, ke jeriji besi penjara hingga akhirnya ke puncak kuasa di Putrajaya.

Namun seperti diungkapkan oleh T S Eliot dalam The Hollow Men, di antara idea dan realiti, di antara niat dan tindakan, sentiasa wujud satu bayang yang memisahkan keduanya.

Dan dalam politik, bayang itu bukan sekadar metafora, ia adalah realiti.

Sejarah pula, tidak pernah memberi ruang untuk seorang negarawan berhenti pada romantika masa lalu.

Setiap pengalaman akhirnya akan diuji, bukan ketika di jalanan, tetapi ketika berada di puncak kuasa. Lalu, yang diuji bukan lagi sejarah, tetapi keputusan hari ini.

Dan dalam konteks politik semasa, bagaimana kita sebenarnya menilai keberanian?

Dalam wacana politik Malaysia hari ini, keberanian sering diukur melalui kelantangan. Siapa paling kuat kritik, dialah pemberani. Siapa paling lantang menyerang, dialah paling jujur.

Artikel Berkaitan:

Tetapi ukuran ini terlalu mudah. Kerana dalam realiti politik, keberanian hadir dalam dua bentuk berbeza antara keberanian untuk bersuara dan keberanian bertanggungjawab. Masalahnya, kedua-dua bentuk ini jarang wujud serentak.

Ambil contoh Rafizi Ramli. Beliau bukan sekadar pemerhati luar. Beliau pernah menjadi sebahagian daripada sistem yang hari ini menjadi sasaran kritikannya. Ini bukan perkara kecil.

Kerana perbezaan antara berada di dalam dan di luar sistem bukan sekadar soal kedudukan, tetapi tentang tanggungjawab, akses dan juga keberanian untuk membuat keputusan.

Ketika berada dalam kerajaan, realiti sering digambarkan sebagai terlalu kompleks.

Struktur dikatakan terlalu keras, kepentingan lama terlalu berakar dan perubahan dianggap sukar. Namun, selepas keluar daripada sistem, nadanya berubah.

Sistem yang sama kini dilihat boleh ditekan melalui tekanan awam melalui mobilisasi, melalui naratif moral yang lebih lantang.

Lalu, apakah sebenarnya berubah? Sistem itu sendiri atau kedudukan individu terhadap sistem tersebut?

Dalam politik, kedudukan sering menentukan cara seseorang melihat realiti. Di dalam sistem, setiap keputusan mempunyai implikasi. Setiap langkah membawa risiko. Setiap perubahan memerlukan kompromi.

Manakala di luar sistem pula, segala-galanya kelihatan lebih jelas. Di luar sistem masalah dapat dikenalpasti dengan cepat. Penyelesaian kelihatan lebih mudah dan keberanian seolah-olah menjadi lebih murah.

Isu melibatkan Azam Baki misalnya memperlihatkan pola ini dengan ketara. Naratif yang dibina seolah-olah mempertahankan proses bermakna mempertahankan salah laku, manakala mengkritik bermakna berada di pihak kebenaran.

Walhal di bawah kepimpinan beliau, SPRM telah melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan yang memberi kesan nyata, termasuk pembongkaran kes berprofil tinggi, penutupan ruang ketirisan dan penjimatan kepada negara yang signifikan.

Adakah semua ini harus diketepikan hanya kerana ia tidak selari dengan naratif politik tertentu? Atau kita sebenarnya sedang memilih fakta... berdasarkan kecenderungan politik masing-masing?

Dan dalam masa yang sama, satu aspek penting yang sering kita ketepikan iaitu sifat keterbukaan dalam kepimpinan hari ini.

Malaysia hari ini masih menyaksikan demonstrasi, kritikan terbuka dan tekanan awam terhadap kerajaan.

Itu bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada pendekatan politik yang sentiasa membuka ruang perbezaan. Ironinya, ruang ini jugalah digunakan untuk membina naratif bahawa kerajaan tidak melakukan apa-apa.

Di sinilah paradoks itu wujud, di mana keterbukaan dilihat sebagai kelemahan, manakala ketegasan ditafsir sebagai autoritarian.

Kita juga tidak boleh mengelak daripada membuat perbandingan. Seorang negarawan yang memilih untuk kekal dalam sistem dengan segala risiko, tekanan dan kemungkinan untuk gagal dan terus berusaha untuk mengubahnya dari dalam.

Seorang lagi memilih untuk keluar, kemudian mengkritik sistem yang sama dari luar.

Kedua-duanya diraikan dalam demokrasi, tetapi hanya satu yang terikat dengan tanggungjawab sebenar membuat keputusan. Dan di sinilah garis pemisah itu menjadi jelas.

Pengkritik mempunyai kebebasan untuk memilih isu, pentadbir tidak mempunyai ‘kemewahan’ itu. Pengkritik boleh menggerakkan emosi, pentadbir perlu mengurus realiti. Pengkritik boleh menjanjikan perubahan, pentadbir perlu melaksanakannya.

Maka, apabila kita menilai kepimpinan hari ini, adakah kita benar-benar menuntut perubahan atau sekadar menuntut gambaran tentang perubahan? Kerana dalam politik, kedua-duanya tidak sama.

Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah siapa yang paling lantang di luar sistem. Tetapi siapa yang masih sanggup kekal di dalamnya, menghadapi segala kekangan yang pernah mereka sendiri akui wujud dan tetap memilih untuk tidak menyerah.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!