Anwar Ibrahim: Negarawan Insani

Anwar sentiasa menjadi figura yang sukar disepakati.
Anwar sentiasa menjadi figura yang sukar disepakati.
A
A
A

DALAM politik, kita sering diajar untuk curiga, seolah-olah setiap senyuman itu latihan. Setiap sentuhan itu strategi. Setiap kata yang lunak itu telah disusun rapi untuk memenangi, bukan untuk difahami.

Lalu kita percaya bahawa dalam politik, keikhlasan itu hampir mustahil. Sebab itu, apabila kita melihat seorang pemimpin yang mudah menyapa, yang tidak terlalu kaku dengan protokol, yang sanggup berhenti hanya untuk mendengar, kita cepat-cepat melabel, “itu semua lakonan”.

Namun, bagaimana jika ada pemimpin yang tidak pernah benar-benar belajar mendekati rakyat kerana dia tidak pernah sempat menjauh daripada mereka? Di situlah kita perlu membaca Anwar Ibrahim dari lorong-lorong kecil sejarah hidupnya, bukan dari pentas kuasa.

Pada tahun 1974, di Baling, kemiskinan bukan angka dalam laporan. Ia ialah perut yang berlapar. Ia ialah ibu bapa yang memandang ke lantai ketika ditanya tentang esok, bukan kerana tiada jawapan, tetapi kerana jawapan itu terlalu pahit untuk diucapkan.

Di tengah suasana itu, seorang anak muda berdiri sebagai suara yang enggan diam. Namun, peristiwa itu berakhir dengan gari, dengan pintu besi yang tertutup, dengan gelap sunyi yang panjang. Di situ, politik kehilangan romantiknya. Politik menjadi soal tubuh yang terkurung, nafas yang disekat.

Sejarah itu tidak berhenti di situ. Pada tahun 1998, ketika negara berdepan krisis kewangan Asia, pertembungan berlaku antara prinsip dengan kuasa sehingga lahirnya gerakan Reformasi, bukan sekadar gerakan politik, tetapi letusan kemarahan rakyat terhadap ketidakadilan.

Di jalanan, suara-suara yang selama ini terpinggir mula menemukan keberanian, dan sekali lagi, Anwar berdiri di tengah-tengah gelombang itu.

Mungkin dari situlah datangnya sesuatu yang sering kita salah tafsir hari ini — cara Anwar menyapa, cara dia berhenti, cara dia mendengar tanpa tergesa-gesa.

Ia mungkin kelihatan seperti teknik kerana dalam politik memang ada pemimpin yang belajar mendekati rakyat. Mereka diajar bahasa tubuh, nada suara dan cara untuk kelihatan dekat.

Artikel Berkaitan:

Namun, ada juga pemimpin yang tidak pernah sempat menjauh. Perbezaannya tidak selalu jelas, tetapi boleh dirasai.

Bahkan, ketika berada dalam kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan, naratif itu tidak berubah arah. Pendidikan tidak dilihat sekadar sebagai dasar semata-mata, tetapi sebagai jalan yang mampu memutuskan kitaran kemiskinan yang diwarisi tanpa pilihan.

Dalam masa yang sama, pendekatan itu turut diterjemahkan dalam bentuk agenda ekonomi yang lebih dekat dengan rakyat terbawah melalui institusi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional dan YAPEIM.

Hari ini, di bawah kerangka Malaysia Madani, tema itu masih bernafas. Ia hadir dalam bentuk dasar, dalam bahasa pentadbiran dan dalam usaha untuk mengangkat golongan paling bawah.

Kita boleh tidak bersetuju dengan pendekatannya. Kita boleh mempersoalkan keberkesanannya. Namun, satu perkara yang sukar dinafikan ialah garis yang menghubungkan Baling dengan Putrajaya itu tetap wujud.

Masalahnya, politik jarang memberi kita masa untuk melihat semua ini. Kita terlalu cepat menilai. Kita melihat gaya, lalu menilai niat. Kita melihat bahasa tubuh, lalu menghukum keikhlasan. Sedangkan mungkin, kita sedang melihat sesuatu yang lahir daripada sejarah yang belum selesai.

Maka timbul persoalan, bagaimana pengalaman hidup seseorang membentuk cara dia memahami keadilan?

Dalam kes Anwar, jawapan itu datang dalam serpihan pengalaman dari jalan berdebu di Baling, ke jeriji besi penjara, ke bilik darjah kementerian dan akhirnya ke Putrajaya.

Mungkin kerana itu juga, Anwar sentiasa menjadi figura yang sukar disepakati. Bagi sebahagian, dia pandai bermain emosi. Bagi sebahagian yang lain, dia terlalu lama menanggung luka untuk berpura-pura. Kita sering terperangkap antara dua tafsiran itu.

Namun, mungkin untuk sekali ini, kita boleh memilih untuk tidak tergesa-gesa kerana dalam politik, tidak semua kedekatan itu lakonan.

Ada yang lahir daripada sejarah yang tidak pernah diberi peluang untuk sembuh sepenuhnya. Sejarah itu hadir secara diam dalam cara seseorang berhenti ketika orang lain berlalu, dalam cara seseorang menunduk ketika orang lain hanya melihat, dan dalam cara seorang pemimpin memilih untuk terus mendengar.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!