Ibu lima anak dituduh seludup 24 migran

Umi Kalsum (kiri) dan Theodurus Seran yang dituduh menyeludup migran di Mahkamah Sesyen Seri Manjung, Perak.
Umi Kalsum (kiri) dan Theodurus Seran yang dituduh menyeludup migran di Mahkamah Sesyen Seri Manjung, Perak.
A
A
A

LUMUT – Seorang ibu kepada lima anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seri Manjung pada Khamis atas dua pertuduhan menyeludup 24 migran warga Indonesia dalam serbuan polis di Segari, awal bulan ini.

Tertuduh, Umi Kalsum Omar Noor Balasubramaniam, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa menjalankan penyeludupan membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita Indonesia di tepi jalan Batu 11 Segari dalam daerah Manjung jam 3.30 pagi pada 4 April 2026.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyeludup 11 lelaki dan empat wanita Indonesia di sebuah rumah bernombor di Jalan Segari, Batu 12 Segari dalam daerah Manjung jam 4 pagi pada hari yang sama.

Kedua-dua pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili Peguam Mohamad Zaidi Othman memohon agar diberikan jaminan mengambil kira keadaan anak-anaknya dengan yang paling kecil baru berusia setahun setengah.

Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd Kohar memaklumkan, tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana Mahkamah Sesyen tiada kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes tersebut.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Dalam pertuduhan berasingan, seorang lelaki warga Indonesia, Theodurus Seran, 30, hadir dalam keadaan berpapah mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyeludup 15 migran warga Indonesia di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang bertindak sebagai penjaga rumah penampungan mengalami patah kaki kanan, didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 4 pagi hingga 5.10 pagi di tepi jalan menghala kawasan Baru Hilal, Batu 11 Segari dan di sebuah rumah bernombor di Jalan Segari, Batu 12 Segari, Manjung pada 4 April lalu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!