Penipuan tawaran kerja sambilan makin berleluasa, catat kerugian RM31.8 juta

KUALA LUMPUR – Penggunaan medium media sosial dan aplikasi mesej dikenal pasti antara taktik utama sindiket penipuan tawaran kerja sambilan di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 1,537 kes direkodkan dengan kerugian mencecah RM31.8 juta bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Menurutnya, sindiket dikesan aktif memperdaya mangsa dengan menawarkan pekerjaan sambilan mudah melalui platform digital seperti media sosial serta aplikasi mesej.
"Penipuan tawaran kerja sambilan ini semakin berleluasa, terutamanya melalui media sosial dan aplikasi mesej.
"Mangsa biasanya dijanjikan kerja mudah seperti ‘like’ dan ‘follow’ di media sosial dengan pulangan komisen yang tinggi, namun ia sebenarnya perangkap," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang bayaran pendahuluan kepada pihak yang menawarkan pekerjaan.
"Tindakan meminta bayaran bagi tujuan pendaftaran, latihan, deposit atau pembelian peralatan sebelum bekerja adalah ciri-ciri jelas penipuan kerana syarikat sah tidak akan berbuat demikian," katanya.
Menurutnya, tawaran pekerjaan dengan pulangan lumayan yang tidak masuk akal juga perlu diragui.
"Orang ramai perlu lebih berwaspada dengan tawaran kerja mudah tetapi menjanjikan ganjaran tinggi kerana itu merupakan antara tanda amaran utama.
"Selain itu, tawaran kerja yang hanya dibuat melalui aplikasi seperti WhatsApp atau Telegram oleh nombor tidak dikenali tanpa melalui saluran rasmi adalah mencurigakan,” jelasnya.
Rusdi berkata, orang ramai juga disaran melakukan semakan latar belakang syarikat terlebih dahulu sebelum memohon sebarang pekerjaan.
Katanya, maklumat peribadi sensitif seperti nombor akaun bank, salinan kad pengenalan dan kata laluan tidak wajar dikongsi dengan pihak tidak dikenali.
"Sindiket biasanya akan memberikan bayaran awal dalam jumlah kecil bagi meyakinkan mangsa sebelum meminta bayaran lebih besar.
"Namun selepas wang diserahkan, mangsa tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mencari peluang pekerjaan melalui platform yang diiktiraf serta saluran rasmi syarikat.
Tambahnya, semakan akaun bank atau nombor telefon yang mencurigakan boleh dibuat menerusi portal Semak Mule di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Orang ramai juga boleh merujuk pihak polis sekiranya mempunyai sebarang keraguan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

