[VIDEO] Tiga beranak ditemui mati dalam rumah

SUNGAI PETANI – [DIKEMAS KINI ] Bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok di sini membawa kepada penemuan mengejutkan mayat tiga beranak pada awal pagi Khamis.
Mangsa dikenali sebagai pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.
Kepala pasangan suami isteri didapati terpisah manakala anggota badan mangsa wanita dipercayai dipotong untuk dilupuskan.
Mayat anak mereka pula ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah malam mengenai ketiadaan pasangan suami isteri itu selama tiga hari dan mereka terhidu bau busuk yang kuat dari rumah tersebut.
“Sebaik sahaja anggota tiba di lokasi, rumah dalam keadaan gelap dan berkunci dari dalam. Bau busuk terlalu kuat sehingga memaksa pihak polis memecah masuk,” katanya pada sidang Akhbar di Balai Polis Merbok di sini pada Khamis.
Jelas Hanyan, pemeriksaan rapi menjumpai mayat pasangan suami isteri itu ditutupi dengan karpet serta pakaian di dapur rumah.
Menurutnya, terdapat percikan darah dan kesan cubaan melupuskan mayat di ruang tamu.
“Mayat pasangan suami isteri dipercayai telah lebih 48 jam, manakala mayat anak mereka masih baru.
"Beberapa jenis senjata tajam turut ditemui berdekatan mayat anak mereka," ujarnya.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian ini menjurus kepada perbuatan bunuh namun motif kejadian masih disiasat.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 8 malam Isnin lalu hingga penemuan mayat.
"Hasil maklumat yang diperolehi mendapati lelaki berusia 29 tahun itu pernah mengalami gangguan mental pada tahun 2018 ke 2019, namun tidak pernah mengganggu masyarakat sekeliling.
"Seorang lagi anak mangsa wanita yang berkerja sebagai tentera, baru sahaja kembali ke rumahnya di Johor, Isnin lalu, selepas pulang beraya di situ," katanya.
Setakat ini, polis telah memanggil lima saksi untuk memberi keterangan.
Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok membawa kepada penemuan mayat tiga beranak
- Pasangan suami isteri ditemui mati dengan kepala terpisah dan anggota badan wanita dipotong
- Mayat anak lelaki mereka ditemui di tingkat atas rumah dengan kesan kelar pada leher
- Polis menerima maklumat dari orang awam tentang ketiadaan pasangan suami isteri itu selama tiga hari
- Siasatan awal mendapati kejadian ini menjurus kepada perbuatan bunuh, motif masih disiasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

