Koridor Sempadan Wang Kelian–Wang Prachan: Jangan biarkan sempadan terus menunggu

CONNECTIVITY Between Neighboring Countries yang berlangsung di Wang Prachan, Satun pada awal bulan yang lalu bukan sekadar satu pertemuan rasmi antara pemimpin setempat, pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan kedua-dua negara, malah merupakan manifestasi komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Thailand, khususnya di koridor sempadan Perlis–Satun.
Program yang telah dilaksanakan ini bertujuan membina hubungan erat antara rakyat di kawasan sempadan, mengurangkan konflik, memupuk keamanan serta memperkukuh mekanisme pengurusan sempadan secara bersepadu dan mampan.
Dalam konteks geopolitik dan ekonomi serantau hari ini, pendekatan sebegini amat penting kerana sempadan tidak lagi boleh dilihat beban dari sudut kawalan keselamatan, sebaliknya sebagai pintu pertumbuhan ekonomi, hubungan sosial dan kestabilan dua hala.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam majlis tersebut ialah pembangunan dan penaiktarafan ICQS Wang Kelian–Wang Prachan, cadangan melanjutkan waktu operasi kastam daripada jam 6 petang kepada 8 malam, kemajuan pemulihan ICQS Wang Kelian daripada Free Flow Zone satu ketika dulu kepada Zon Ekonomi Khas, serta keperluan mewujudkan laluan alternatif susulan kejadian tanah runtuh di Bukit Wang Kelian semasa banjir tahun lalu.
Kesemua isu ini memerlukan komitmen segera daripada Kerajaan Negeri Perlis dan Kerajaan Persekutuan kerana manfaatnya bukan sahaja kepada rakyat di kawasan sempadan, malah kepada hubungan perdagangan dan keselamatan Malaysia–Thailand secara keseluruhan.
Pada penghujung tahun lalu, Kerajaan Malaysia telah bersetuju secara dasar untuk menjadikan ICQS Wang Kelian sebagai projek perintis Zon Ekonomi Khas. Walaupun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan akibat banjir besar yang melanda kawasan tersebut.
Ia membuktikan bahawa kerajaan pusat melihat sempadan Wang Kelian Padang Besar sebagai koridor strategik yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu bagi utara Semenanjung.
Penaiktarafan ICQS dan peluasan waktu operasi kastam akan memberi kesan langsung kepada kelancaran perdagangan, pergerakan pelancong, sektor logistik, aktiviti perniagaan kecil dan sederhana serta hubungan sosial masyarakat rentas sempadan.
Bagi peniaga kecil dan komuniti setempat, tambahan dua jam operasi bukan sekadar perubahan teknikal, tetapi satu penambahbaikan yang boleh meningkatkan pendapatan harian, memudahkan urusan keluarga dan mempercepat aktiviti ekonomi tempatan.
Dari sudut keselamatan, sistem sempadan yang cekap dan mesra rakyat juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada laluan tidak rasmi yang sering menjadi punca kepada aktiviti penyeludupan.
Dalam pengalaman saya sebagai Ahli Parlimen kawasan sempadan, antara punca utama penyeludupan ialah kewujudan transaksi ekonomi tidak formal yang cuba mengelak cukai dan peraturan rasmi.
Justeru, penyelesaian jangka panjang tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
Apa yang lebih penting ialah pembaharuan dasar.
Atas sebab itu, saya terus memperjuangkan Dasar Ekonomi Sempadan Nasional, yang bertujuan menginstitusikan aktiviti perdagangan rakyat sempadan melalui saluran yang sah, tersusun dan menguntungkan kedua-dua negara.
Cadangan seperti pengenalan Border Trade Pass untuk penduduk sempadan Malaysia–Thailand wajar dipertimbangkan secara serius.
Langkah ini bukan sahaja membolehkan transaksi kecil dijalankan secara sah, malah dapat meningkatkan hasil negara, memudahkan pengawasan kastam serta mengurangkan ruang kepada kegiatan penyeludupan.
Pada masa yang sama, Thailand juga akan menerima manfaat daripada peningkatan perdagangan dua hala, pertumbuhan pelancongan dan pengukuhan hubungan ekonomi tempatan di wilayah Satun.
Selain itu, cadangan pembinaan laluan alternatif Wang Kelian perlu diberi perhatian segera. Pengalaman banjir dan tanah runtuh tahun lalu menunjukkan bahawa ketersambungan fizikal adalah faktor kritikal kepada kelangsungan operasi sempadan.
Tanpa infrastruktur jalan yang berdaya tahan, sebarang gangguan cuaca atau bencana alam boleh memberi kesan besar kepada pergerakan rakyat, operasi perdagangan dan keselamatan kawasan sempadan.
Dalam majlis tersebut juga, saya menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand yang telah menunjukkan tahap profesionalisme dan persahabatan yang tinggi.
Mereka bukan sahaja menjalankan tanggungjawab menjaga sempadan, malah menjadi simbol persahabatan dan kestabilan dua hala yang sebenar.
Hakikatnya, anggota keselamatan di sempadan merupakan “duta kecil persahabatan negara” yang memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan rakyat terus harmoni.
Oleh itu, segala isu yang dibangkitkan dalam majlis ini akan saya bawa dengan segera kepada perhatian Kerajaan Negeri Perlis dan Kerajaan Persekutuan.
Pembangunan ICQS, peluasan waktu operasi kastam, pemulihan Free Flow Zone, pembinaan laluan alternatif serta pelaksanaan Dasar Ekonomi Sempadan Nasional mesti dilihat sebagai agenda strategik negara.
Jika dilaksanakan dengan komitmen semangat federalisma yang tinggi, koridor Wang Kelian–Wang Prachan berpotensi menjadi model sempadan moden, model hubungan persahabatan dua negara, selamat dan makmur, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dan Thailand sebagai rakan strategik utama di rantau ini.
*Penulis adalah Ahli Parlimen Padang Besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
