Total Defence: Peranan universiti dalam pertahanan dan keselamatan negara

Kecanggihan teknologi ketenteraan menimbulkan kekaguman terhadap kemampuan Malaysia yang menjadi destinasi kelengkapan pertahanan antarabangsa. Gambar kecil: Dr Ram Al Jaffri Saad
Kecanggihan teknologi ketenteraan menimbulkan kekaguman terhadap kemampuan Malaysia yang menjadi destinasi kelengkapan pertahanan antarabangsa. Gambar kecil: Dr Ram Al Jaffri Saad
A
A
A

BERDIRI di celah-celah kecanggihan teknologi jet pejuang, teknologi dron, sistem radar tanpa pemandu, dan aset perisikan siber di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) sepanjang berlangsungnya Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2026 menimbulkan kekaguman terhadap kemampuan Malaysia yang menjadi destinasi kelengkapan pertahanan antarabangsa.

Namun, sedar atau tidak, pertahanan sesebuah negara pada abad ke-21 bukan lagi hanya terletak pada hujung raifal atau ketebalan perisai keluli. Ia bergerak seiring dengan pertumbuhan kekuatan intelek, ketangkasan pengurusan, dan keupayaan merangka dasar yang kalis masa hadapan.

Kehadiran delegasi universiti ke pameran DSA termasuk Universiti Utara Malaysia telah menunjukkan kesungguhan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadikan universiti dan institut pengajian tinggi (IPT) sebagai sumber dalam keselamatan komprehensif negara sejajar dengan prinsip Pertahanan Menyeluruh (Total Defence) Malaysia.

Saya melihat satu keperluan mendesak untuk kita menilai semula peranan universiti dalam konteks keselamatan nasional dan bergerak seiring dengan Dasar Pertahanan Negara (DPN). Umumnya, masyarakat melihat universiti sebagai institusi yang terasing dan terpisah. Universiti dilihat sebagai sebuah tempat yang berkisar mengenai soal teori, kuliah dan penyelidikan.

Namun, Malaysia tidak lagi duduk dalam lingkungan konservatif, sebaliknya Malaysia turut bergerak seiring dengan kemajuan Revolution in Military Affairs (RMA) semasa yang semakin hibrid dan semakin kompleks. KPT dan universiti adalah nadi atau tunjang yang menentukan sama ada teknologi pertahanan yang kita miliki akan berfungsi secara efektif atau sekadar menjadi hiasan logistik yang mahal.

Dalam konteks ini, memiliki kelengkapan dan logistik pertahanan yang moden dan canggih semata-mata memerlukan aspek pengurusan pertahanan agar sentiasa siap siaga menghadapi ancaman yang semakin kompleks.

Kita perlu akui bahawa membeli teknologi pertahanan itu mudah, namun bagaimana dengan pengurusan teknologi agar ia selari dengan kepentingan nasional adalah cabaran sebenar.

Di sinilah letaknya kepentingan universiti dan KPT yang mempunyai bidang tujahan khusus dalam bidang pengurusan, seperti Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam konteks nasional, kita memerlukan kepakaran yang mampu menghubungkan garis antara aset ketenteraan dengan kecekapan dan urus tadbir organisasi.

Artikel Berkaitan:

Tanpa sistem pengurusan logistik yang mantap, tanpa integriti dalam rantaian bekalan, dan tanpa tadbir urus yang telus, sistem pertahanan paling canggih di dunia sekalipun boleh lumpuh, malah ia meletakkan risiko terhadap ancaman semasa kepada negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi melalui mandatnya sentiasa mendorong universiti untuk menjadi rakan strategik kepada industri. Kehadiran universiti di pameran sebesar DSA dan NATSEC bukan untuk menjual produk, tetapi untuk menawarkan modal dan idea intelek.

Kita menawarkan kepakaran dalam pengurusan pertahanan, keterlibatan dalam industri pertahanan, menganalisis risiko dan menguruskan sumber manusia yang akan mengendalikan aset-aset kedaulatan ini.

Dalam bidang pengajian strategik dan keselamatan, terdapat satu prinsip asas, iaitu kemenangan yang paling agung adalah kemenangan yang dicapai tanpa melibatkan pertumpahan darah. Hakikatnya, inilah prinsip dan doktrin yang menjadikan Malaysia aman dan kekal stabil.

Pendekatan amalan kuasa selain ketenteraan atau pendekatan lembut (soft approach) membuktikan pelbagai kejayaan termasuk Malaysia telah dilantik sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebanyak empat kali.

Bagaimana ia lahir? Di sinilah kejayaan kepakaran akademik sangat diperlukan oleh negara. Sebelum sebarang peluru dilepaskan, diplomasi adalah benteng pertama negara. Pendidikan sebagai sumber pertahanan negara.

Dunia hari ini sedang berhadapan dengan perebutan kuasa di Laut China Selatan dan ketidaktentuan geopolitik serantau akibat konflik Amerika Syarikat dengan Iran. Malaysia memerlukan barisan diplomat dan penganalisis keselamatan yang bukan sahaja faham tentang sejarah, tetapi bijak membaca catur kuasa besar.

Universiti berperanan melahirkan bakat-bakat yang mempunyai minda analitik yang tajam untuk menasihati dan menawarkan idea baharu pertahanan dan keselamatan kepada kerajaan.

Melalui penyelidikan akademik yang mendalam, universiti boleh membekalkan data strategik mengenai trend keselamatan global yang mungkin terlepas pandang oleh agensi penguat kuasa yang sibuk dengan operasi harian.

Hubungan akrab antara universiti dan agensi keselamatan melalui KPT membolehkan ilmu ini mengalir terus ke meja rundingan antarabangsa.

Selain itu, aspek yang jarang disentuh dalam pameran pertahanan antarabangsa adalah soal dasar awam. Apabila kita melihat penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi dalam persenjataan yang dipamerkan di NATSEC 2026, persoalan pertama yang muncul adalah mengenai bagaimana kita boleh mengawalnya dan mengaplikasikan AI dalam soal pertahanan dan keselamatan negara. Di sinilah pakar-pakar dasar daripada universiti seperti UUM memainkan peranan kritikal.

Setiap teknologi baharu memerlukan regulasi. Jika negara menggunakan sistem pengawasan biometrik yang canggih, bagaimana kita melindungi privasi rakyat mengikut Perlembagaan? Jika kita menggunakan dron untuk rondaan sempadan, apakah protokol penglibatan (rules of engagement) yang perlu ditetapkan?

Universiti menyediakan platform untuk membincangkan isu etika dan perundangan ini. Kita tidak mahu menjadi sebuah negara yang memiliki teknologi tinggi tetapi mempunyai dasar yang rapuh. Dasar awam yang kukuh adalah “perisai” yang melindungi kerajaan daripada implikasi undang-undang antarabangsa dan domestik.

Dalam pada itu, apabila kita bercakap tentang keselamatan nasional pada zaman ini, kita tidak boleh lari daripada membincangkan ancaman siber. Di NATSEC 2026, serangan siber dilihat sebagai senjata yang mampu melumpuhkan seluruh ekosistem ekonomi sesebuah negara dalam sekelip mata. Kedaulatan negara kini tidak lagi hanya diukur berkisar dalam bentuk ancaman konvensional di sempadan darat semata-mata, tetapi juga di ruang awan (cloud) dan pangkalan data infrastruktur kritikal.

Universiti di Malaysia, termasuk UUM, telah lama membangunkan kepakaran dalam forensik digital dan keselamatan maklumat. Namun, sumbangan ini perlu diangkat ke peringkat nasional secara lebih sistematik. Kita memerlukan lebih banyak makmal penyelidikan yang bekerjasama dengan industri pertahanan untuk membina perisian keselamatan tempatan.

Realitinya, kita tidak boleh selamanya bergantung kepada penyelesaian dari luar negara yang mungkin mempunyai “pintu belakang” (backdoor) yang membahayakan kita. KPT menyokong penuh usaha ini melalui program pemindahan teknologi, memastikan bahawa apa yang dipelajari di universiti dapat diterjemahkan kepada sistem pertahanan siber yang kebal untuk kegunaan agensi seperti MKN, ATM, PDRM dan semua agensi keselamatan dan pertahanan negara.

Selanjutnya, universiti, industri dan kerajaan harus mengukuhkan sinergi. Kehadiran ahli akademik di lapangan seperti DSA dan NATSEC sebenarnya adalah manifestasi kepada model Triple Helix. Ia adalah tentang bagaimana universiti (sebagai penyedia ilmu), industri (sebagai penyedia teknologi), dan kerajaan (sebagai penggubal dasar) duduk bersama. Secara peribadi, saya melihat ini sebagai satu langkah patriotik.

Ahli akademik tidak lagi boleh duduk diam di menara gading. Kita perlu tahu apa masalah sebenar yang dihadapi oleh anggota kita di perbatasan. Adakah mereka memerlukan sistem komunikasi yang lebih selamat? Adakah mereka memerlukan modul latihan kepimpinan yang lebih moden?

Atau adakah mereka memerlukan analisis data besar (big data) untuk meramal ancaman pengganas? Universiti mempunyai jawapannya, tetapi jawapan itu hanya akan berguna jika ada jambatan kolaborasi yang kuat.

Secara peribadi, saya sebagai seorang pendidik dan pengurus universiti mempunyai harapan. Jujurnya, momentum ini tidak terhenti di sini. Penyertaan dalam acara bertaraf dunia ini harus disusuli dengan tindakan susulan yang konkrit.

Kita mahu melihat lebih banyak kertas polisi nasional yang lahir daripada kerjasama universiti-industri. Kita mahu melihat graduan kita bukan sahaja laku di pasaran kerja, tetapi mampu menjadi tulang belakang kepada sistem keselamatan negara.

Secara tuntasnya, kedaulatan Malaysia adalah tanggungjawab kolektif. Ia adalah gabungan antara keberanian anggota di lapangan dan kebijaksanaan pemikir di universiti. Melalui kepakaran dalam pengajian antarabangsa, dasar awam, dan keselamatan siber, universiti seperti UUM bersama sokongan KPT akan terus komited memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi pertahanan, tetapi menjadi bangsa yang bijak mengemudi kedaulatannya sendiri.

Keselamatan negara adalah satu amanah yang tidak boleh dikompromi. Dan ilmu adalah benteng yang paling ampuh untuk menjaganya. Marilah kita terus menggembleng tenaga, memastikan menara gading terus relevan sebagai pelindung kedaulatan tanah air tercinta.

*** Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!