Kanak-kanak jatuh longkang: Mangsa mungkin dihanyutkan ke sungai utama - Bomba

Samsol Maarif menunjukkan peta pencarian mangsa (gambar kanan) yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam.
Samsol Maarif menunjukkan peta pencarian mangsa (gambar kanan) yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor tidak menolak kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam dihanyutkan hingga ke sungai utama.

Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, ketiadaan perangkap sampah di laluan longkang yang bersambung ke Sungai Buloh dan seterusnya ke Sungai Selangor antara faktor yang meningkatkan kebarangkalian itu.

Menurutnya, struktur laluan air tanpa halangan itu membolehkan arus deras membawa mangsa lebih jauh tanpa sekatan dan keadaan tersebut menyukarkan usaha mengesan mangsa dalam radius pencarian awal yang tertumpu di kawasan longkang serta saliran berhampiran lokasi kejadian.

"Laluan longkang ini bersambung terus ke Sungai Buloh dan akhirnya ke Sungai Selangor tanpa sebarang perangkap sampah.

"Ini menyebabkan kebarangkalian mangsa dihanyutkan sehingga ke sungai utama adalah tinggi," katanya ketika ditemui di pusat kawalan bomba di Bandar Puncak Alam pada Rabu.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua masih belum menemui sebarang petunjuk baharu walaupun pencarian dilakukan secara intensif.

"Setakat ini pasukan penyelamat telah melakukan pencarian sejauh kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang.

"Dalam radius empat kilometer, kita tidak menemui sebarang objek atau tanda yang boleh dikaitkan dengan mangsa walaupun pencarian dilakukan berulang kali termasuk ketika air surut pada waktu malam," katanya.

Tambah beliau, keadaan arus deras serta hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu turut menjadi cabaran utama dalam operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Arus air yang terlalu deras susulan hujan menyebabkan anggota sukar melakukan pencarian secara menyeluruh di sepanjang laluan air," katanya.

Dalam pada itu, operasi turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), namun masih belum menunjukkan hasil positif.

"Unit K9 juga tidak mengesan sebarang bau atau objek berkaitan mangsa, sekali gus menguatkan kemungkinan mangsa telah dihanyutkan lebih jauh," katanya.

Sehubungan itu, katanya, operasi SAR akan diperluaskan ke kawasan sungai dengan jarak tambahan antara tujuh hingga 10 kilometer.

"Fokus pencarian akan tertumpu di sepanjang pesisir Sungai Buloh sehingga ke pertemuan dengan Sungai Selangor," katanya

Menurutnya, sebanyak tiga bot telah digunakan dalam operasi setakat ini dan jumlah aset tersebut akan ditambah bagi memperluas kawasan pencarian.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!