Krisis Negeri Sembilan: Presiden UMNO sendiri tidak setuju 'tebuk atap' - Anthony

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Sembilan kekal berfungsi seperti biasa tanpa sebarang perubahan pada pentadbiran sedia ada.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keadaan itu susulan pendirian UMNO di peringkat pusat yang terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan, meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ujar beliau, keputusan berkenaan telah dimuktamadkan oleh kepimpinan di peringkat tertinggi parti.
"Biro Politik UMNO telah mengeluarkan kenyataan bahawa masih kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.
"Malah dalam Kabinet semalam, Presiden UMNO juga menyatakan pendirian sama, maksudnya Presiden UMNO sendiri tidak setuju penubuhan kerajaan baharu ataupun tebuk atap.
"Jadi ini bermaksud Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal, untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan perjalanan pentadbiran di peringkat negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan di Forum Pembaca China-Malaysia Mengenai Naskah Edisi Bahasa Inggeris Xi Jinping: 'The Governance of China' (Jilid Kelima) di sebuah hotel pada Khamis.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Menurut Anthony, situasi terkini diharap diperjelaskan kepada rakyat supaya ketegangan berhubung konflik berterusan itu dapat dikurangkan.
Sementara itu, mengulas isu konflik mengenai institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, beliau mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan berhubung urusan tersebut.
"Kita tahu masih ada isu belum selesai antara institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat kepada undang-undang negeri. Itu adalah sesuatu yang di luar kawalan kita dan perlu diselesaikan dengan baik dalam institusi tersebut.
"Jadi kita tak boleh masuk campur. Bagi kita di peringkat kerajaan, adalah memastikan kerajaan berjalan seperti biasa.
"Menteri Besar, ahli Exco dan ADUN, mereka berfungsi seperti biasa, bekerja seperti biasa. Itu saya rasa dapat memastikan kestabilan dapat dijamin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

