Ebit Lew diarah bela diri pertuduhan gangguan seksual

TENOM - [DIKEMAS KINI] Pendakwah terkenal, Ebit Lew, diarah untuk membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, berhubung pertuduhan melibatkan gangguan seksual terhadap seorang wanita, kira-kira lima tahun lalu.
Majistret Nur Asyraf Zolhani memutuskan demikian selepas mendapati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim, yang berusia 41 tahun itu.
"Mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesemua 11 pertuduhan, di mana semua elemen pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan telah dibuktikan.
"Keterangan di akhir kes pendakwaan adalah mencukupi untuk sabitan direkodkan terhadap kamu berkenaan 11 pertuduhan tersebut sekiranya ia tidak disangkal atau tidak digugat oleh keterangan pembelaan," katanya semasa membacakan keputusannya.
Sehubungan itu, Nur Asyraf berkata, tertuduh mempunyai pilihan termasuk untuk memanggil saksi bagi pihaknya dalam membela diri.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil tujuh hingga 10 saksi pembelaan dalam perbicaraan nanti.
Sebelum itu, mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan yang seterusnya untuk beliau membela diri iaitu pada 13 hingga 16 Oktober, 11 hingga 13 dan 24 hingga 27 November serta 1 hingga 4 Disember tahun ini.
Dalam perbicaraan itu, Ebit Lew berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.
Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
