Nasib Ebit Lew akan ditentukan petang ini

TENOM - Selepas empat tahun perbicaraan, nasib pendakwah terkenal, Ebit Lew, akan diketahui pada Khamis di Mahkamah Majistret Tenom di sini menerusi keputusan akhir berhubung 11 pertuduhan melibatkan gangguan seksual.
Difahamkan, prosiding dijadualkan bermula pada jam 4.30 petang dan perkara itu telah disahkan oleh kedua-dua pihak, termasuk pasukan peguam mewakili beliau serta pasukan Timbalan Pendakwa Raya.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 41, dibicarakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani sejak September 2022 dengan seramai 18 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.
Dalam perbicaraan itu, Ebit Lew berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.
Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
