'Ebit Lew percaya ada ceritanya sendiri dalam bela diri' - Peguam

TENOM - Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyifatkan keputusan Mahkamah Majistret pada petang Khamis yang memerintahkan beliau membela diri bagi 11 pertuduhan yang dihadapinya sebagai satu keputusan mahkamah yang perlu dihormati.
Bagaimanapun, beliau tetap mempunyai versi cerita tersendiri untuk dibuktikan di mahkamah.
Reaksi itu disampaikan oleh peguamnya, Datuk Ram Singh selepas mahkamah memutuskan wujudnya kes prima facie terhadap semua pertuduhan dan mengarahkan pembelaan dipanggil.
"Ustaz kata, tidak mengapa, itu keputusan mahkamah tapi beliau mempunyai cerita sendiri yang kami percaya akan menceritakan kebenaran," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangam Mahkamah Tenom di sini.

Ram kemudian menjelaskan bahawa arahan mahkamah untuk memanggil pembelaan bagi kesemua 11 pertuduhan merupakan satu prosedur biasa dalam perbicaraan jenayah dan tidak bermaksud pihak pembelaan telah kalah dalam kes tersebut.
"Okay, pihak pembelaan dipanggil untuk membela diri bagi semua 11 pertuduhan. Ia tidak bermaksud kami telah kalah kes ini.
"Ia hanya bermaksud mahkamah mahu mendengar cerita Ebit Lew," katanya.
Menurut beliau, pihak pembelaan akan memanggil antara tujuh hingga 10 saksi bagi menyokong kes Ebit Lew, selain mengambil keterangan beberapa saksi yang telah ditawarkan oleh pihak pendakwaan termasuk saksi berkaitan pengadu.
Ram berkata, semua saksi akan diteliti sebelum dipanggil bagi memastikan pembelaan dapat dikemukakan dengan sebaik mungkin di mahkamah.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan menggunakan sepenuhnya ruang pembelaan untuk menjawab semua pertuduhan melalui keterangan saksi.
Kes berkenaan telah berlarutan empat tahun diharap dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
"Ia adalah untuk anak guam saya menjelaskan kesemua 11 pertuduhan, yang akan kami lakukan melalui pernyataan saksi. Tiada masalah," katanya.
Tambahnya, perbicaraan seterusnya dijadualkan berlangsung di Tenom pada Oktober, November dan Disember dengan beberapa tarikh telah ditetapkan oleh mahkamah.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa proses pembelaan ini akan membuka ruang kepada penjelasan penuh daripada pihak tertuduh di mahkamah.
Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim, 41, diwakili barisan peguamnya, Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Ebit Lew berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
