BAYANGKAN keadaannya jika anda terpaksa menanggung derita sakit otot betis selama tujuh tahun tanpa henti.
Namun itulah realiti pahit yang dikongsikan oleh seorang individu di Threads, menceritakan bagaimana rutin hariannya terganggu meskipun pelbagai ikhtiar dilakukan.
Bukan sekadar ubat tahan sakit biasa, malah ubat merehatkan otot (muscle relaxants) juga sudah dicuba, namun semuanya menemui jalan buntu.
Malah, senaman ringan yang diharapkan dapat melegakan kesakitan langsung tidak membuahkan hasil.
Menjawab kepada hantaran itu, pengamal perubatan, Dr Kash Mustafa menjelaskan keadaan seperti itu perlu diperiksa secara menyeluruh kerana ia mungkin berpunca daripada faktor lain yang sering diabaikan.
Menurutnya, pesakit perlu menjalani pemeriksaan lanjut termasuk imbasan bagi mengenal pasti punca sebenar jika ubat tidak lagi memberi kesan.
Sekiranya keputusan imbasan normal, aspek pemakanan serta penanda keradangan dalam badan juga perlu diberi perhatian.
Dr Kash turut berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit yang mengalami sakit dan kekejangan otot betis selama lima tahun sehingga tidak mampu melipat kaki pada waktu malam kerana mudah mengalami kekejangan atau cramp.

Pemilihan makanan sihat penting untuk mengelakkan penyakit tidak diingini. -Gambar hiasan AI
Walaupun ubat tahan sakit hanya memberi kelegaan sementara, antara punca sebenar akhirnya didapati berkait dengan tabiat kerap minum air Reverse Osmosis (RO).
Sebelum ini, Public Health Malaysia turut berkongsi mengenai penggunaan penapis air jenis Reverse Osmosis di rumah yang semakin popular.
Teknologi itu sememangnya berkesan menapis logam berat, bakteria serta bahan tercemar, namun pada masa sama turut menyingkirkan hampir semua mineral penting seperti kalsium dan magnesium.
Air yang terlalu rendah mineral dikatakan boleh menyerap dan mengeluarkan mineral daripada badan, sekali gus menjejaskan ketumpatan tulang, kesihatan gigi serta meningkatkan risiko osteoporosis dan karies gigi.
Golongan yang jarang mengambil sayur, susu atau kekacang berisiko lebih tinggi mengalami kekurangan mineral penting secara perlahan tanpa disedari.
Antara gejala yang sering dikaitkan termasuk keletihan walaupun cukup tidur, kekejangan otot, rasa mencucuk pada anggota badan, jantung berdebar, pening ketika berdiri, sukar tidur serta rasa cemas.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak bermakna pengguna perlu menukar sistem penapis air mereka sepenuhnya.
Sebaliknya, pengambilan makanan kaya mineral seperti sayur hijau, susu dan kekacang perlu dipastikan mencukupi setiap hari.
Bagi pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada air RO, penambahan penapis mineral atau selang-seli dengan air mineral semula jadi juga boleh dipertimbangkan.
Amalan gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang penting kerana air yang baik bukan sekadar jernih dan bersih, tetapi turut membantu mengekalkan keseimbangan tubuh.


