Isu kutipan zakat merentas sempadan atau negeri

ISU kutipan zakat di luar sempadan negeri bukanlah perkara baharu, namun semakin ketara dalam konteks semasa apabila wujud pelbagai inisiatif individu dan organisasi yang beroperasi tanpa penjelasan lanjut dari pihak berkuasa.
Pada pandangan saya, perkara ini bukan sahaja menyentuh soal hukum semata-mata, tetapi juga integriti sistem pengurusan zakat secara keseluruhan.
Saya melihat bahawa pelantikan amil atau ejen zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sememangnya sah dari sudut hukum Syariah. Namun, perkara tersebut tidak boleh difahami secara mutlak tanpa mengambil kira batas bidang kuasa. Dalam erti kata lain, tauliah itu bersifat lokal, bukan umum. Apabila ada pihak menggunakan tauliah tersebut untuk mengutip zakat di negeri lain, tindakan itu jelas melangkaui autoriti yang diberikan.
Dalam hal ini, saya bersetuju dengan pandangan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-125 yang bersidang pada 20 hingga 22 Rabiulawal 1446 bersamaan 24 hingga 26 September 2024 menegaskan bahawa kutipan di luar sempadan atau negeri tanpa kebenaran adalah tidak sah serta bercanggah dengan undang-undang zakat negeri lain.
Lebih membimbangkan ialah amalan memindahkan hasil kutipan zakat ke negeri lain. Dari sudut prinsip, zakat sepatutnya memberi keutamaan kepada asnaf di tempat ia dikutip. Apabila dana ini dialihkan tanpa justifikasi yang sah, ia bukan sahaja menyalahi kerangka perundangan, malah boleh menjejaskan keadilan agihan. Saya melihat perkara ini sebagai satu bentuk kelemahan tadbir urus yang perlu ditangani dengan lebih tegas. Sekali lagi, pendirian MKI yang menganggap tindakan ini tidak sah memberikan asas yang kukuh kepada kebimbangan ini.
Selain itu, isu pemberian upah kepada individu atau organisasi yang bertindak sebagai amil di luar kawasan tauliah juga wajar dipersoalkan. Secara prinsipnya, kelayakan menerima bahagian amil adalah bergantung kepada pengiktirafan sah oleh pihak berkuasa. Jika seseorang itu tidak diiktiraf dalam sesuatu negeri, maka pemberian upah daripada hasil zakat adalah tidak berasas.
Pada hemat saya, amalan ini bukan sahaja bercanggah dengan hukum Syarak seperti yang ditegaskan oleh MKI, malah membuka ruang kepada eksploitasi sistem zakat.
Akhir sekali, saya berpandangan bahawa masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam tanggungjawab membayar zakat, khususnya dalam memilih saluran pembayaran.
Membayar zakat kepada pihak yang tidak mempunyai pelantikan rasmi bukan sahaja berisiko dari sudut ibadah dan tanggungjawab, tetapi juga boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi zakat itu sendiri. Ibarat peribahasa mengatakan, “seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit”.
Dalam hal ini, saya melihat ketegasan pandangan MKI sebagai satu garis panduan penting yang seharusnya dijadikan rujukan oleh semua pihak.
Secara keseluruhannya, isu ini menuntut keseimbangan antara semangat membantu dan kepatuhan kepada sistem yang telah ditetapkan. Tanpa disiplin dalam aspek autoriti dan bidang kuasa, usaha mengutip dan mengagihkan zakat berpotensi menjadi tidak teratur, malah menyalahi tujuan asal pensyariatannya.
*Datuk Mohamad Din Yusoh ialah seorang pendakwah dan penulis buku keagamaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
