Kanak-kanak jatuh longkang: SAR diperluas ke Sungai Buloh, tempoh operasi lepasi 36 jam

Pencarian dijalankan PPDA di sekitar sungai berdekatan Taman Alam Jaya, Kuala Selangor pada Khamis.
Pencarian dijalankan PPDA di sekitar sungai berdekatan Taman Alam Jaya, Kuala Selangor pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras di Bandar Puncak Alam memasuki hari ketiga pada Khamis dengan pencarian kini diperluas hingga ke Sungai Buloh.

Mangsa, Khairil Izzani Khaizalullinudin dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika hujan lebat semasa bermain bola pada Selasa lalu.

Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, peluasan operasi dibuat susulan kemungkinan mangsa dihanyutkan lebih jauh dari lokasi asal.

"Untuk hari ketiga ini, operasi diteruskan dengan perubahan lokasi Pos Kawalan Bomba (PKB) ke balai masyarakat Taman Alam Jaya bagi memudahkan penyelarasan operasi.

"Dari lokasi mangsa dipercayai jatuh ke muara Sungai Buloh adalah kira-kira lima kilometer,” katanya ketika ditemui di PKB Taman Alam Jaya pada Khamis.

Menurut beliau, sekiranya tiada petunjuk ditemui di laluan awal itu, operasi akan diteruskan ke Sungai Buloh.

"Pencarian di Sungai Buloh hingga ke pertemuan dengan Sungai Selangor dianggarkan melibatkan tambahan jarak kira-kira 10 kilometer,” katanya.

Beliau berkata, operasi melibatkan kekuatan kira-kira 90 anggota termasuk masyarakat setempat dan pelbagai agensi.

"Antara agensi terlibat ialah JBPM, Polis Diraja Malaysia Kuala Selangor dan Sungai Buloh, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Pengurusan Bencana Daerah serta pelbagai agensi.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk dari kawasan Ijok yang diketuai wakil rakyat turut membantu menyusuri kawasan pencarian dari Ijok hingga ke Sungai Buloh,” katanya.

Samsol (kiri) mendengar taklimat disampaikan pegawainya di Pusat Kawalan Bomba, Kuala Selangor pada Khamis.
Samsol (kiri) mendengar taklimat disampaikan pegawainya di Pusat Kawalan Bomba, Kuala Selangor pada Khamis.

Samsol Maarif berkata, anggota telah diagihkan ke beberapa lokasi strategik termasuk kawasan mangsa dipercayai jatuh hingga ke sempadan Sungai Buloh.

"Pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), unit K9 dan anggota bomba ditempatkan di beberapa lokasi sepanjang kira-kira lima kilometer dan pencarian di kawasan ini diulang bagi memastikan mangsa benar-benar tiada di situ.

"Sekiranya tiada penemuan di lokasi yang diperiksa berulang kali, pasukan akan meneruskan pencarian menyusuri Sungai Buloh hingga ke pertemuan dengan Sungai Selangor," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan operasi SAR telah melepasi tempoh 36 jam dengan jumlah pencarian aktif sekitar 28 jam.

"Operasi dijalankan siang dan malam dan jika termasuk tempoh siap siaga, keseluruhan operasi telah melebihi 40 jam hingga pagi ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengulangi pencarian di lokasi PKB hari pertama dan kedua termasuk pemeriksaan di dalam manhole oleh pasukan PPDA.

"Pemeriksaan dilakukan lebih daripada sekali kerana kedalaman manhole dianggarkan melebihi 9 meter bagi memastikan mangsa tiada di dalamnya.

"Sekiranya ada yang ternampak mangsa di pesisir pantai, sungai, kebun atau sepanjang Sungai Buloh termasuk pemancing, pencari sayur dan pekerja ladang kelapa sawit, diminta segera memaklumkan kepada pihak bomba," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Khairil Izani Khaizalullinudin, dipercayai dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran padang bola di Fasa 3 Puncak Alam ketika hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, mangsa sebelum itu bermain bola bersama dua rakannya sebelum pergi ke kawasan longkang berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan oleh pasukan bomba dan agensi berkaitan setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!