Laksana enkuiri sambung kembali tali muafakat di Negeri Sembilan - Rais

SHAH ALAM - Satu enkuiri atau siasatan menurut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 perlu dilaksanakan sebagai jalan penyelesaian paling realistik dalam usaha menyambung kembali tali muafakat susulan krisis di Negeri Sembilan.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, siasatan yang dimaksudkan adalah mengenai peristiwa pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Selain itu, peristiwa tentang empat Undang umum pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut beliau, jika enkuiri dapat dilunaskan sebagai bahan bukti tambahan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diminta supaya tidak melakukan apa-apa tindakan.
"Mengusir orang, memadamkan api atau menyuruh pegawai putuskan pintu rezeki mana-mana pihak. Nanti dulu... Perkara terbaik jika diambil ini sebagai nas dan beritahu kita bahawa muafakat itu penting.
"Jadi buatlah enkuiri. Ada dua bahagian, pertama kalau Tuanku hilang sifat badan (tak nampak atau kurang dengar). Kedua, hilangnya penghormatan, kesucian dan kepercayaan justeru bolehlah diadakan pemeriksaan oleh satu pihak yang dipersetujui semua.
"Tapi jangan ambil tindakan dulu walaupun sekarang Undang Luak Sungei Ujong tak ada tempat dah. Maknanya 'ambil keris terus hunus, ambil pedang terus pancung'," katanya.
Pakar pengkaji Adat Perpatih itu berkata demikian ketika podcast Keluar Sekejap episod 196 yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan di Youtube pada Khamis.
Ditanya lebih lanjut tentang kaedah yang boleh dipertimbangkan dalam menjalin semula muafakat, Rais mencadangkan supaya empat Undang menghantar wakil untuk berbincang dengan wakil Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Jika tidak dibuat sebegitu, kata Rais, nama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan cacat dan ia berpotensi menimbulkan konflik lebih parah.
"(Sebagai contoh), kalau nak tandatangan enakmen, baginda sudah was-was. Kalau nak buka dewan sudah ditanya orang... Raja ada dua, kenapa seorang sahaja ke hadapan? Undang pula begitu.
"Integriti atau nama baik sedikit sebanyak mungkin terjejas sebab Menteri Besar tak iktiraf (tindakan memecat Tuanku Muhriz) dan beliau sudahpun mengeluarkan kenyataan menyokong pihak-pihak tertentu.
"Jadi, wakil kerajaan negeri tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dulu tapi mereka dah buat. Pihak yang rugi adalah Undang maka harus dikembalikan suasana muafakat, runding semula, beri tempoh dan jadikan DKU sebagai platform penyatuan semula," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
